Kor Ming persoal kerajaan bina banyak masjid
KUALA LUMPUR 8 Dis. – Seorang ahli Parlimen DAP hari ini mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 sedangkan pada masa sama kerajaan gagal membina rumah ibadat bagi agama lain untuk tempoh yang sama.
Ahli Parlimen Taiping yang juga Timbalan Bendahari Agung DAP, Nga Kor Ming berkata, walaupun mengalu-alukan usaha kerajaan memartabatkan agama Islam tetapi pada masa sama berasa kesal kerana rakyat bukan Islam telah dianaktirikan sedangkan mereka juga adalah pembayar cukai.
Beliau yang juga Setiausaha DAP Perak berkata, sebab itu kerajaan Pusat harus belajar daripada kerajaan campuran DAP, Pas dan PKR di Perak dahulu serta kerajaan Pas Kelantan yang membenarkan pembinaan tokong terbesar di Asia Tenggara walaupun turut memartabatkan Islam.
“Dan kerajaan pakatan pembangkang di Perak ketika memerintah dulu banyak menawarkan tapak tanah kepada kuil-kuil Hindu, gereja dan tokong supaya rakyat penganut agama tersebut tidak merana dan berasa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan di pusat media Parlimen di sini hari ini.
Menurut Kor Ming, walaupun kerajaan menguar-uarkan slogan 1Malaysia namun adalah jelas gagasan tersebut adalah janji manis yang berupa cakap kosong sahaja.
Katanya, ini berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop terhadap soalan dikemukakan beliau bahawa kerajaan telah menggunakan tabung wang rakyat sebanyak RM748.26 juta untuk membina masjid melalui peruntukan khas Perdana Menteri.
‘‘Bagaimanapun tidak ada perancangan yang bersistem, struktur dan agihan peruntukan adil diberikan kepada penganut agama bukan Islam.
‘‘Menurut jawapan kerajaan, kerajaan Persekutuan hanya memperuntukkan RM9 juta untuk bantuan kepada semua institusi ibadat bukan Islam dalam tempoh 2003 hingga 2008 iaitu satu jumlah 1.2 peratus sahaja,” jelasnya.
Kor Ming menegaskan, prinsip pertama Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan dan oleh itu semua rakyat Malaysia termasuk rakyat bukan beragama Islam harus menerima ajaran agama yang betul.
Menurut beliau, justeru adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu pembangunan pendidikan rohani rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam juga.
‘‘Semua rakyat adalah pembayar cukai, adalah tidak adil penganut agama bukan Islam dianaktirikan,” jelasnya-utusan.com.my
kucing-selama kucing hidup ni, inilah kali pertama ada manusia yang mempersoalkan tentang pembinaan masjid. Apakah dia lupa yang telah termaktub di dalam perlembagaan bahawa agama islam itu adalah agama rasmi persekutuan, tetapi bangsa lain bebas mengamalkan agama anutan mereka sendiri. Sejak kebelakangan ini, ramai bangsa C dan I telah mula mempersoalkan tentang agama ISLAM. Memula dulu bantah laungan azan, lepas tu mempermainkan tulisan jawi, la ni nak persoal bina masjid. Siapa mereka nak persoal perkara sebegini? selama ini pun kerajaan tidak pernah menghalang depa bina kuil atau rumah ibadat yang lain. Melalui kenyataan di atas, jelas menunjukkan yang kerajaan tak pernah halang bina wat siam terbesar di kelantan. So, kenapa nak persoalkan pembinaan masjid pula? Jangan cuba jolok sarang tebuan..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan