Sokongan meningkat 65 peratus berbanding sebelum jadi PM KUALA LUMPUR: Menjelang genap 100 hari memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri pada Ahad depan, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan pencapaian membanggakan apabila kaji selidik menunjukkan 65 peratus daripada responden menerima keputusan dan langkah pentadbirannya memperbaiki ekonomi negara. Kaji selidik Merdeka Centre, sebuah pusat penyelidikan tempatan itu mendapati kadar penerimaan terhadap kepemimpinan Najib meningkat daripada 42 peratus sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kepada 46 peratus pada pertengahan Mei dan melonjak kepada 65 peratus baru-baru ini. Hanya 22 peratus daripada 1,060 tinjauan pendapat yang dilakukan antara 19 Jun hingga 1 Julai kurang berpuas hati dengan pencapaian Najib, manakala 13 peratus lagi tidak membuat keputusan.
Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata perangkaan itu membuktikan mereka menerima inisiatif dasar yang dilaksanakan Perdana Menteri, termasuk pelbagai mesej yang beliau sampaikan. "Malah, ada yang semakin mempercayai kepemimpinan beliau dan ia diterjemahkan dengan kadar peratusan yang tinggi itu," katanya. Antara soalan yang dikemukakan dalam tinjauan pendapat di kalangan rakyat Malaysia itu ialah hasil pencapaian Perdana Menteri, sentimen berkaitan negara, ekonomi dan langkah ke arah liberalisasi ekonomi.
Sejak mengisi kerusi Perdana Menteri, Najib memperkenalkan pelbagai langkah menerusi model ekonomi baru negara dengan liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, termasuk membenarkan warga asing memiliki pelaburan bank dan syarikat insurans. Minggu lalu beliau menurunkan 30 peratus pemilikan Bumiputera untuk syarikat tempatan yang akan disenaraikan dan mengurangkan peranan serta kuasa Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) serta mengumumkan kategori baru biasiswa berasaskan merit mulai tahun depan. Ibrahim berkata, kaji selidik juga mendapati masyarakat Melayu memberi sokongan paling padu terhadap Najib. "Sebanyak 74 peratus masing-masing di kalangan responden Melayu dan India berpuas hati dengan pencapaian Najib sebagai Perdana Menteri, manakala tahap sokongan masyarakat Cina pula 48 peratus," katanya.
Kaji selidik juga menunjukkan majoriti responden menerima keputusan Najib untuk meliberalisasikan ekonomi negara. Sebanyak 62 peratus responden percaya liberalisasi dapat membantu negara untuk jangka masa panjang, manakala 21 peratus tidak yakin ia dapat membantu negara dan 17 peratus tidak memberi maklum balas kepada soalan itu. "Sebagai tambahan, 60 peratus percaya liberalisasi dapat membantu masyarakat Melayu untuk jangka masa panjang. "Kaji selidik juga menunjukkan di sebalik berhadapan situasi meruncing dalam usaha membentuk semula ekonomi negara sejak krisis kewangan Asia, responden optimis terhadap situasi ekonomi dan keupayaan Najib mentadbir negara menyusuri landasan yang betul," katanya-bharian.com.my
kucing-ini menunjukkan perubahan akan berlaku.
-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan